tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Thursday, May 7, 2009

Malaysiakini : Polis gagal reman Mat Sabu

kemaskini 5.50pm Naib Presiden PAS Mohamad Sabu yang ditahan secara misteri petang semalam dibebaskan di mahkamah Tanjung Malim, Perak selepas polis gagal meremannya.

Dihubungi Malaysiakini petang ini, beliau berkata laporan polis terhadapnya dibuat oleh Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah sendiri atas alasan "cuba menghasut orang ramai halang persidangan DUN Perak" hari ini.

Mohamad percaya laporan itu dibuat susulan kenyataannya di satu sidang media di Kuala Lumpur untuk menganjurkan solat hajat dan munajat di Manjoi, beberapa kilometer dari pusat bandar Ipoh, menjelang subuh pagi ini.

Mohamad, dibebaskan dengan jaminan polis, disambut isterinya Normah Alwi bersama seorang anak mereka pada jam 3.30 petang di situ.

Polis membawanya ke mahkamah kira-kira jam 3 petang tadi untuk mereman selama empat hari dan memohon keizinan menggeledah rumahnya di Padang Menora, Pulau Pinang.

Bagaimanapun, tambahnya, permohonan polis ditolak setelah mendengar hujah peguamnya.

Walaupun sudah bebas, calon timbalan presiden PAS itu masih bimbang akan ditahan semula.

"Polis boleh panggil semula, kita bimbang ditangkap lagi. Polis boleh buat macam-macam," kata Mohamad.

Menurutnya, lagi, beliau yang ditahan di sebuah lokap di Bukit Aman tidak disoal siasat malam tadi dan tidak mengetahui bawah akta apa penahanannya dibuat.

Menurut laporan awal akhbar PAS Harakahdaily, Normah diberitahu oleh polis Bukit Aman bahawa suaminya telah dibawa ke Tanjung Malim pagi tadi untuk dihadapkan ke mahkamah.

Polis semalam tidak menjelaskan siasatan tersebut dibuat untuk mana-mana kes kecuali menyatakan "mendorong orang ramai dan penyokong PAS berkumpul di Ipoh" sempena persidangan DUN Perak yang bermula pagi ini.

Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub semalam tidak menolak kemungkinan Mohamad ditahan berhubung program solat hajat di Manjoi bermula jam 5 pagi tadi berkaitan persidangan DUN tersebut.

Mohamad Sabu ditahan jam 3.15 petang di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur selepas keluar dari sebuah restoran dan difahamkan sedang berjalan menuju ke pejabat Harakah.

Pemimpin kanan itu ditahan sekumpulan kira-kira 10 anggota polis berpakaian biasa.

Mohamad sebelum itu minum bersama Salahuddin dan seorang lagi ahli PAS di sebuah restoran belakang Hospital Tawakkal di Jalan Pahang - kira-kira 300 meter dari pejabat organ parti itu.

Menceritakan saat-saat tersebut, Salahuddin berkata, beliau terdengar jeritan Mohamad "aku kena tangkap" sebelum bergegas menuju ke arahnya yang sedang dikelilingi kumpulan anggota polis tersebut.

Beliau dan ahli PAS itu, yang dikenali Ali Maidin, bergelut seketika dengan anggota-anggota polis untuk menyelamatkan Mohamad tetapi diheret ke tepi oleh pihak berkuasa itu.

Salahuddin menambah, tiada waran tangkap terhadap Mohamad dikeluarkan dan tiada pegawai polis memperkenalkan diri sewaktu penahanan tersebut.

Mohamad ditahan selepas jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Wong Chin Huat, ditahan reman sehari di Mahkamah Magistret Kuala Lumpur bagi siasatan Akta Hasutan - dipercayai berkaitan kempen berpakaian hitam anjuran NGO itu sempena sidang DUN Perak, esok.

No comments: