"Politik wang bukan rasuah," demikianlah pendirian yang dipegang calon UMNO-BN Bagan Pinang, Mohd Isa Abdul Samad. Bekas Naib Presiden UMNO ini menganggap dirinya hanya melanggar kod etika pemilihan parti UMNO, malah menyalahkan media yang memutar-belitkannya sebagai rasuah.
"Saya bukan rasuah. Ini ialah politik wang. Apa yang berlaku sebenarnya adalah, saya melanggar kod etika. Kami mempunyai kod etika dalam pemilihan parti. Kemudian, media memutar-belitkannya kepada politik wang dan rasuah," kata Isa Samad kepada wartawan MerdekaReview dalam satu wawancara pada malam Isnin yang lalu.
Malah, ketika diajukan soalan bahawa pencalonan Isa Samad dilihat sebagai menghalang usaha UMNO membanteras rasuah, calon ini menganggap politik rasuah dalam UMNO bakal diselesaikan dengan pindaan perlembagaan parti.
Tidak adil dihukum dua kali
"Saya tidak menganggap itu sebagai masalah. Kerana dalam perhimpunan agung parti yang akan datang, kami akan meminda perlembagaan parti, seperti tiada lagi kuota (pencalonan). Ini akan menyelesaikan masalah politik wang dalam UMNO."
"Mereka tidak boleh menghukum saya untuk kali kedua. Adalah tidak adil untuk sesiapa menghukum saya untuk dua kali. Itu amat tidak adil," ujarnya.
Ketika ditanya sama ada kes ini harus disiasat oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Isa Samad berkata pada mulanya "ia bergantung kepada UMNO," Setelah merenung seketika, disambung dengan "tapi saya anggap sekiranya ada pindaan baru, masalah ini tidak timbul."
Isa Samad menyimpulkannya bahawa "politik wang UMNO akan berkurang selepas perlembagaan parti dipinda."
Isa Samad, 60, adalah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun, sejak tahun 1982. Beliau memenangi jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 2004 dengan undi tertinggi, 1,507 mengatasi Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu, Muhyiddin Yassin (1,234 undi).
Isa Samad dijatuhkan hukuman penggantungan keahlian selama 6 tahun pada mulanya oleh Lembaga Disiplin Umno, setelah disabitkan kesalahan terlibat dalam politik wang. Kemudiannya, hukuman ini diringankan kepada 3 tahun selepas rayuan dibuat, berakhir pada Jun 2008.
Mohd Hassan calonkan Isa?
Orang kuat Negeri Sembilan ini pernah mengatasi Muhyiddin Yassin dalam pemilihan parti tahun 2004, ketika pertandingan jawatan Naib Presiden. Malah, pada peringkat awal UMNO mempertimbangkan calon yang bakal diletakkan di Bagan Pinang, Timbalan Presiden UMNO ini menasihatkan agar lebih daripada satu nama dicadangkan.
Walau bagaimanapun, Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohd Hassan mendakwa dirinya yang mencalonkan Isa Samad. Ketika ditanya kepada Isa Samad, beliau mengesahkan bahawa Mohd Hassan pernah mencadang kepadanya untuk bertanding dalam PRK Bagan Pinang.
"Bukan sekali, malah dua kali," katanya ketika memaklumkan dirinya ditawar untuk bertanding oleh Mohd Hassan. Namun, Isa Samad mengakui bahawa beliau lebih berminat untuk bertanding di kawasan parlimen. Walau bagaimanapun, beliau menerima tawaran Menteri Besar dan Presiden UMNO selepas diputuskan.
No comments:
Post a Comment