tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Tuesday, October 6, 2009

Undi Pos Meragukan, Pegawai Tentera Dedah Kepincangan

(TV Antara) - Pegawai-pegawai tentera tertinggi mula tampil mempersoalkan ketelusan undi Pos yang merangkumi kumpulan pengundi terbesar pada pilihan raya kecil Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.
Pegawai terbabit yang termasuk seorang bekas jeneral, antara lain mendedahkan bagaimana mereka memangkah Barisan Nasional(BN) atas kertas undi untuk anggota tentera di bawah kelolaan mereka. Malah pengakuan itu diberikan kepada Suruhanjaya Pilihan raya baru-baru ini tetapi tiada tindakan diambil.

Prebet Abu Kassim yang bersara sebagai Sarjan, mengaku memangkah BN pada kertas undi pos pada 1980-an.

"Saya bekas tentera. Terlibat dalam pentadbiran. Sayalah yang pangkah dacing pada kertas undi tu. Saya pangkah BN. Banyak tuan," katanya kepada Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam pertemuan pada 28 September lalu.

Bagaimanapun Abdul Aziz mengenepikan aduan itu sebagai "cerita lama" dan tidak memberi sebarang komitmen untuk merombak sistem undi pos yang telah lama memihak kepada Umno-Barisan Nasional.

Dalam pada itu seorang bekas Jeneral Angkatan Tentera Malaysia yang bergelar Datuk mendakwa beliau sekian lama dicatatkan sebagai telah mengundi tetapi hakikatnya tidak berpeluang memangkah kertas undi ketika berjuang di perbatasan. 

"Dahulu masa operasi dalam hutan dalam masa yang sama ada pilihan raya, mana ada kertas undi sampai ke dalam hutan tempat operasi, tahu-tahu dah mengundi," jelas beliau.

Tambahnya,lebih mengeliru dan menimbulkan kemusykilannya sehingga kini ialah tentang kelebihan yang diberikan kepada anggota tentera untuk mengundi awal.

"Ini semua tidak logik dan sebarang kemungkinan kepada ketidaktelusan mungkin berlaku dan syak wasangka yang akhirnya menjejaskan imej dan kredibiliti tentera yang selama ini disanjung oleh rakyat," ujarnya.

Seorang bekas komando yang berkhidmat selama 21 tahun turut mengakui beliau tidak pernah mengundi semasa dalam perkhidmatan. Beliau yang enggan namanya disiarkan menjelaskan setiap kali menjelang pilihan raya,  beliau bersama-sama rakan-rakan tertunggu-tunggu peluang untuk mengundi.

"Bila balik ke kem bertanya pada pihak kem, mereka menjelaskan perkara undi telah diselesaikan, 'kamu hanya perlu berkhidmat untuk negara' kata pegawai kem," jelasnya yang bertugas di Unit Risikan Komando.

Ditanya mengenai dakwaan ada anggota tentera yang dipaksa mengundi di depan pegawai tinggi bagi memastikan mereka memangkah BN, Jeneral berkenaan yang telah bersara lebih 10 tahun tidak menafikan perkara itu berlaku. Namun sepanjang masa beliau menjadi pegawai pemerintah, beliau tidak membenarkan perkara itu berlaku di kem-kem tenteranya.

Seperkara lagi yang menjadi tanda tanya, ialah sewaktu mengundi, kertas undi yang ditanda oleh tentera tidak dimasukkan ke dalam beg tetapi diserahkan kepada pegawai tinggi yang ada di situ.

Sekarang ini daripada apa yang ditunjukkan di televisyen sudah ada beg yang disediakan.

Menceritakan pengalamannya sewaktu mengendalikan proses pilihan raya di Kemboja Jeneral berkenaan menyatakan pekerja dari pelbagai parti boleh mengikuti ke mana sahaja peti undi itu dibawa. Semua ini bagi menjaga ketelusan pilihan raya negara itu.

Tetapi di Malaysia, petugas parti tidak dibenarkan mengiringi peti undi berkenaan.

"Apa yang saya tahu semua undi tentera itu dikumpul dan dikira di Kementerian Pertahanan yang berada di Kuala Lumpur, kemudian baru dipecahkan mengikut kawasan masing-masing, sebagai tentera atau orang awam saya tidak boleh bayangkan masyarakat boleh mendakwa bahawa tidak berlaku penyelewengan sepanjang proses ini berlangsung," katanya lagi.

Sementara itu,  bekas Ketua Umno Petaling Jaya Selatan, Kapten(B) Datuk Abu Zahar Hashim ketika dihubungi Suara Keadilan turut mempertikaikan ketelusan undi pos yang terdapat di Bagan Pinang.

"Jumlahnya terlalu ramai sedangkan penghuni kem yang benar-benar menetap di Port Dickson adalah sebuah kem sahaja, yang lain itu hanyalah tempat latihan dan para penghuninya bertukar ganti mengikut masa," kata beliau yang kini bersama PAS.

Mengulas isu sama Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mendakwa semakannya mendapati hanya 1,200 daripada 4,604 pengundi pos di DUN Bagan Pinang masih tinggal dan layak mengundi pos di situ.

Mereka terdiri daripada anggota tentera yang tinggal di Kem Seri Rusa - satu-satunya kem tentera dalam DUN Bagan Pinang. Manakala yang lainnya adalah mereka yang pencen atau yang telah berpindah atau berkhidmat di tempat lain.

Sebelum ini, PAS mendesak Borang Lampiran 2 dimansuhkan, SPR bagaimanapun enggan menghentikan amalan itu yang memuatkan butiran peribadi pengundi pos, iaitu kumpulan pemilih terbesar di DUN Bagan Pinang.

"PAS kesal dengan sikap tidak progresif dan kurang profesional pengerusi SPR kerana masih lagi mengamalkan budaya 'double standard' dalam melayani pengundi-pengundi pos di seluruh negara berbanding pengundi biasa," kata ketua penerangannya Idris Ahmad.

"Jika pengundi biasa, tiada Borang Lampiran 2 diberikan. Malah tiada dalam peraturan sekalipun.

"Tetapi pelik kenapa Borang Lampiran 2 itu diwajibkan kepada semua pengundi pos, walhal nama-nama dan maklumat mereka sudah ada dalam daftar pengundi."

Seramai 5,171 pemilih pos, atau 37 peratus pengundi, akan menentukan kemenangan calon, antara PAS dan BN, pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.

No comments: