tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Thursday, October 29, 2009

Scorpene - apa yang rahsia?


This was forwarded to me by Ladang Batagar - good reading. informative. Translation with thanks by sitadewi.

source : http://steadyaku-steadyaku-husseinhamid.blogspot.com/2009/10/scorpene-apa-yang-rahsia-by-ladang.html



"Had we called for an open tender, we would have exposed our defence secret to the enemies…"


Ketika terbaca jawapan  timbalan menteri pertahanan kepada soalan yang diajukan wakil DAP di Parlimen pada hari Khamis 22hb Oktober, saya menyangka penyelenggara berita online tersilap. Mustahil seorang timbalan menteri yang ada gelaran 'Dr' di hadapan namanya memberi jawapan sedemikian.


Pagi hari berikutnya, saya bergegas ke kedai 7 Eleven berhampiran untuk mencari kepastian. Akhbar Star dan the Sun pun membawa ungkapan serupa. Apalah agaknya ayat yang diguna oleh akhbar berbahasa Melayu. Mungkin berbeza mungkin sama. Sejak kedua-dua kumpulan akhbar ini terpaksa menukar kiblat ke Menara Dato Onn, saya sudah tidak lagi mengikuti omongan pemberita, penulis dan pengarangnya.


"Sekiranya kita menawarkan tender terbuka, kita akan mendedahkan rahsia pertahanan kepada musuh". Mungkin begitulah lebih kurang maknanya jika diterjemah ke Bahasa Melayu.


Mujurlah wakil DAP yang mengajukan soalan sekadar melepas batuk di tangga. Ataupun macam robot yang telah diprogramkan. Asalkan ada soalan sudah memadai. Ketepatan dan kesahihan jawapannya tidak perlu dipersoal. Maka yang menjawab pun yakin 'dalam kelompok orang-orang buta, yang celik sebelah mata menjadi raja'.


Musuh ? Malaysia bermusuh dengan negara mana agaknya. Tak mungkin. Rasanya beliau tersalah ungkap. Atau memang ketika ini Malaysia sedang bermusuhan dengan negara lain.


Israel ? Atau negara jiran yang mempunyai hubungan rapat dengan Israel ? Kalaulah itu yang dimaksudkan, bukan setakat spesifikasi scorpene, kekuatan dan kelemahan kapal selam itu sendiri pun bukan lagi rahsia. Lihat sahajalah bagaimana mereka memusnahkan hampir keseluruhan kekuatan pertahanan udara Mesir pada bulan Jun 1967 dalam apa yang dinamakan sebagai 'peperangan enam hari'.


Atau, apa yang dimaksudkan sebagai musuh itu sebenarnya lebih merupakan 'musuh kepada syarikat yang mendapat durian runtuh'. Kalau dibuat tender terbuka, tentunya ada yang boleh menawarkan pakej yang lebih kompetitif. Dan bila mana tender diberikan kepada syarikat yang menawarkan sebut-harga yang lebih tinggi dengan pakej serupa, maka terjadilah seperti mana yang berlaku dengan cadangan pembelian Eurocopter.   Kerana tender terbuka, semuanya terbuka. Dan syarikat yang gagal, yang merasa mereka tidak diberi peluang beraksi di gelanggang yang sama rata, tidak teragak-agak mendedahkan apa yang kononnya rahsia. 'Siapa yang anda kenal lebih bermakna dari apa yang anda tahu'. (Whom you know is more important than what you know).
"mendedahkan rahsia pertahanan kepada musuh"


Sebelum adanya kemudahan internet, 'Jane's Fighting Ships', sebuah terbitan tahunan (annual publications) menerbitkan senarai komprehensif kapal dan spesifikasi tentera laut lebih seratus enam puluh negara. Termasuklah TLDM. Kini, diera dunia tanpa sempadan, siapa yang berminat boleh melayari laman web 'Jane's Fighting Ships' asalkan sanggup membayar yuran langganan. Apa yang dianggap rahsia sebenarnya sudah lama menjadi rahsia terbuka atau open secret.


KD Rahmat, Jebat dan Lekiu, tiga buah frigate yang ditempah khusus mengikut spesifikasi TLDM mungkin, diawal pembinaan, boleh dikategorikan sebagai rahsia kerana ketiga-tiga buah kapal perang tersebut adalah prototype. Kerana keprotoan itulah, ia mengambil masa enam tahun untuk disiapkan. Tiga tahun lewat dari jadual. Pun begitu, negara mana atau 'musuh' mana yang tidak tahu KD Rahmat adalah kapal pertama di Tenggara Asia yang dilengkapi peluru berpandu 'Seacat' laut ke udara (SAM). Apa yang masih menjadi rahsia hanyalah jumlah 'sasaran' yang dimusnahkan peluru berpandu KD Rahmat, Jebat dan Lekiu.  RTM yang membuat liputan ketika pertama kalinya (dan mungkin terakhir) KD Rahmat menguji peluru berpandu pada tahun 1976 tentu masih menyimpan rakaman yang begitu gah bunyinya "TLDM Berjaya melancarkan peluru berpandu laut ke udara…"


Kerana kejayaan itulah agaknya, maka enam tahun selepas peristiwa itu, pelancar kembar empat (quadruple launcher) KD Rahmat berpindah ke muzium.


Berbeza dengan scorpene. Siapa pun yang melayari internet akan dapat mengetahui bahawa syarikat pembuat kapal selam tersebut mengeluarkan tiga versi. Basic, basic-AIP dan compact. Malaysia pula bukan Negara tunggal yang memiliki kapal selam jenis ini. Yang membezakan antara scorpene milik Malaysia dengan yang dimiliki negara lain cuma kecekapan crew mengendali kapal itu sendiri. Harap-harap, janganlah ada kejadian lawak seperti dalam filem 'Run Silent, Run Deep' yang hampir memusnahkan kapal selam mereka sendiri.


Selepas kebakaran yang memusnahkan KD Seri Inderapura, tidak mustahil yang mustahil menjadi kenyataan.


"mendedahkan rahsia pertahanan kepada musuh"?


Skandal John Profumo dan Chritine Keeler di Britain pada tahun 1963 sepatutnya dijadikan iktibar betapa pentingnya pengasingan mereka yang terlibat dibidang pertahanan dengan wanita 'asing'. Ketika kewarasan fikiran dikuasai nafsu, pandangan jadi kelabu. Profumo hilang pertimbangan. Dia tidak terfikir untuk mengetahui latar belakang Christine Keeler. Fikirannya hanya tertumpu pada tubuh perempuan itu. Walaupun warga Britain, tapi CK juga ada hubungan rapat denga Ivanov, seorang attaché Rusia (ketika itu Soviet Union) di London.


Malang bagi Profumo kerana orang Inggeris tidak pemaaf seperti orang Melayu. Jawatan sebagai setiausaha pertahanan terpaksa dilepaskan. Kalau di Malaysia tidak jadi masalah untuk dia mengekalkan jawatan kerana orang Malaysia mengamalkan (secara terpilih) budaya 'maaf dan lupakan' atau forgive and forget.

Kalau benar kementerian pertahanan menganggap pembelian scorpene perlu dirahsiakan demi keselamatan negara, kenapa pula syarikat yang dianugerahkan tender mengguna khidmat juru bahasa perempuan dari negara luar. Tidak adakah orang Malaysia sendiri yang fasih bertutur dalam Bahasa Perancis. Tidakkah terfikir kemungkinan orang luar itu adalah klon  wanita yang ditiduri Profumo. Ataupun mempunyai DNA yang hampir sama.


Kita boleh perbodoh sekelompok manusia setiap masa, dan semua orang  pada satu-satu ketika, tapi jangan lupa ada masanya kita pula yang memperbodoh diri sendiri

No comments: