tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Monday, November 30, 2009

BTN dan MCA: Muhyiddin dua kali kena boikot

Isu kecurangan dan penyelewengan Biro Tata Negara (BTN) Jabatan Perdana Menteri benar-benar menggugat kewibawaan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin. Pertama sekali beliau terpaksa mempengerusikan mesyuarat khas kabinet untuk mengakui bahawa memang ada kepincangan dalam program BTN.
Arahan supaya akur kepada hakikat bahawa program anjuran BTN memang memecahbelahkan perpaduan antara kaum di negara ini khabarnya datang daripada Perdana Menteri, Najib Razak, menerusi panggilan telefon dari luar Negara.

Ini mencalar prestasi Muhyiddin kerana apabila kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor minggu lalu mengumumkan akan memboikot kursus sivik anjuran BTN, Muhyiddin segera menafikan bahawa aktiviti BTN bermatlamat indoktrinasi politik, apatah lagi supaya persertanya berkiblat pandangan politik Umno-BN. Malah kata Muhyiddin tugas BTN ialah untuk menanamkan semangat patriotisme di kalangan rakyat.
Langkah Selangor diiringi oleh keputusan kerajaan Pulau Pinang untuk turut memboikot program BTN. Sehubungan itu menderu rakyat, khususnya yang pernah menyertai kursus BTN dan mereka yang pernah terbabit dalam program BTN tampil untuk mempertikaikan kenyataan Muhyiddin.
Maka apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz memberitahu sidang media hari ini bahawa kabinet bersetuju merombak kurikulum BTN, makin rabaklah imej Muhyiddin. Ini kerana jika ia benar keputusan kabinet, maka tentu Muhyiddin sendiri yang mempengerusikannya.
Malah untuk mengurangkan darjah “malu” Muhyiddin, Nazri melempiaskan kepada media (tentunya arus perdana) kerana telah “salahfaham” kenyataan Muhyiddin ketika cuba mempertahankan BTN minggu lepas.
Nazri berkata, Muhyiddin tidak bermaksud seperti apa yang dilaporkan media. Aneh. Apakah Muhyiddin sendiri tidak terfikir atau tidak boleh berfikir betapa laporan media arus perdana itu tidak merakamkan maksud beliau sebenarnya?
Mungkin ini akibat kegopohan Muhyiddin sendiri. Apabila sesuatu kenyataan mengenai BTN datang daripada pihak saingan politik (kali ini kerajaan Pakatan Rakyat Selangor), beliau mungkin melihatnya sebagai satu peluang untuk meraih dividen politik untuk dirinya; sama seperti beliau melihat krisis MCA boleh melonjakkan imejnya sebagai bakal Perdana Menteri yang tegas dan berkebolehan melandeni isu dengan berkesan. Akhirnya, mesyuarat berdamai dan bersemuka di kalangan pemimpin MCA yang bertelagah yang dianjurkannya gagal kerana ada yang “memboikot”nya.

No comments: