tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Wednesday, November 18, 2009

K'jaan Kedah dibidas tiada fokus

Kerajaan Kedah digesa supaya menggariskan perancangan dan fokus dalam pembangunan negeri bagi memastikan janji yang diberikan kepada rakyat pada pilihan raya umum tahun lepas ditunaikan.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Mahdzhir Khalid (BN-Pedu) hari ini berkata, perancangan dan fokus adalah penting khususnya perancangan untuk memajukan dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat pelbagai kaum.

"Sampai sekarang pun, kita tak nampak apa perancangan... kita ada banyak kaum di negeri ini, apa perancangan untuk memajukan kaum India, Cina dan Siam, kita pun tak tahu.

"Begitu juga fokus kepada industri, jika memberi penekanan kepada pertanian, apakah jenis pertanian yang difokuskan?

"Jika perindustrian pula, apakah industri yang difokuskan, haruslah dijelaskan," katanya ketika membahaskan usul terima kasih atas titah Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ketika merasmikan sidang DUN.

Dakwanya, pelaburan asing di Kulim High Tech juga didapati tidak meningkat sejak 2007 dan kerajaan negeri haruslah berusaha untuk melakukan sesuatu.

Mahdzir, yang juga bekas menteri besar, berkata setelah diberi kuasa memegang tampuk pemerintahan, kerajaan negeri pimpinan PAS haruslah mempunyai perancangan untuk menunaikan janji kepada rakyat.

Katanya, antara janji itu termasuklah cuti bersalin selama tiga bulan dan cuti 20 hari atas kematian suami kepada penjawat awam wanita tetapi setakat ini masih kabur mengenai pelaksanaannya.

Beliau juga meminta kerajaan memastikan bahawa tindakan untuk mengkorporatkan Jabatan Bekalan Air (JBA) negeri tidak menjejaskan pendapatan kerajaan.

"Kita harus memastikan bahawa usaha untuk mengkorporatkan JBA yang bermula tahun hadapan mestilah tidak menjejaskan pendapatan kerajaan, sebelum ini kerajaan mempunyai Kumpulan Wang Bekalan Air," kata beliau.

Semalam, dalam pembentangan Bajet Kedah 2010, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata JBA akan dikorporatkan di bawah sebuah syarikat yang dikenali sebagai Syarikat Air Darul Aman (SADA).

SADA dijangka mula beroperasi 1 Jan 2010 dan bertanggungjawab menggendalikan kerja-kerja pembekalan air manakala kesemua aset JBA pula akan dikendalikan oleh Perbadanan Aset Air Bhd. BERNAMA

No comments: