Walaupun kepimpinannya mendapat kritikan, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau tidak akan meletakkan jawatan kerana ia merupakan satu tanggungjawab dan kepercayaan daripada ahli parti itu.
"Kita pikul tanggungjawab sepenuhnya. Dan hari ini, kita mendapat kepercayaan daripada perwakilan (peserta seminar) yang datang dari seluruh negara. (Kepercayaan) ini menambahkan lagi pendirian kita dengan sikap kita," katanya.
Bercakap dalam sidang media selepas seminar politik PAS di Gombak hari ini, beliau menyifatkan kritikan terhadap kepimpinannya, terutama ahli akademik, tidak semuanya tepat.
"Kita anggap (kritikan) itu biasa. Kita matang dengan kritikan. Kritikan itu ada yang benar, ada yang tidak benar. Yang benar kita ambil, yang tidak benar, kita jawab," kata Abdul Hadi.
"Kita tidak menolak ahli akademik."
Beliau didesak berundur, antaranya, oleh pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Abdul Aziz Bari dengan alasan kepemimpinannya lemah dan tidak dapat berperanan dalam politik baru Pakatan Rakyat.
Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali turut hadir pada sidang media itu.
Ditanya tentang kajian pensyarah Universiti Malaya Dr Abu Hassan Hasbullah yang menyimpulkan bahawa 50 peratus masalah parti itu berpunca daripada kepemimpinan, Abdul Hadi berkata:
"Dia punya kajian tidak terperinci. Kita ambil maklum dan kita akan tingkatlan lagi (kemampuan parti). Itu saja,"
Dr Abu Hassan, yang diundang menyampaikan pandangannya dalam sesi percambahan minda pada seminar tersebut bersama Dr Abdul Aziz, turut menyampaikan dapatan tinjauannya bahawa Abdul Hadi tidak mendapat tanggapan positif masyarakat.
Ketika menyampaikan ucapan penggulungannya di akhir seminar itu, Abdul Hadi kelihatan mempertahankan dirinya dengan menyamakan pemimpin PAS sebagai pemain bola sepak dan ahli akademik sebagai pengulas sukan.
"Kita berada di medan dan mereka yang lain adalah pengulas, seperti dalam sukan dan permainan bola sepak. Dan sudah tentu ada provokasi, (seperti) lempar mercun dan sebagainya.
"Tetapi kita sebagai pemain jangan cepat melatah, lempar mercun sama," katanya.
"Kita mesti berjiwa besar. Walaupun ada teguran keras, suruh pecat kapten. Tetapi dalam sebuah perlawanan, kita belum habis masa bermain.
"Sebagai pemain profesional, kita tidak boleh pecat kapten di tengah-tengah permainan."
No comments:
Post a Comment