Isu salah guna peruntukan kerajaan pusat sekali lagi diungkitkan di DUN Selangor hari ini, yang mendorong menteri besar menimbulkan satu projek pembinaan jambatan di sebuah padang golf di negeri itu.
Tanpa menamakan individu terbabit, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata projek berkenaan didalangi seorang menteri pada era pentadbiran BN.
"Ini contoh peruntukan yang dibuat kerana menteri itu sangat suka main golf," katanya ketika menjawab satu soalan tambahan dalam persidangan dewan itu.
"Sebelum 2008 ada upacara di kelab, seronok sungguh orang di kelab untuk pecah batu untuk buat jambatan di kelab itu.
"Menteri pun datang pecahkan batu dengan sungguh bergaya."
"Lepas pilihan raya, batu entah ke mana, jambatan entah ke mana," kata Khalid lagi, yang mengemukakan contoh tersebut untuk menunjukkan peruntukan persekutuan disalurkan ke negeri itu berdasarkan kepentingan politik.
"Akhirnya perdana menteri tulis surat kepada Jabatan Perdana Menteri untuk menghentikan projek itu," katanya lagi.
Khalid berkata setiap peruntukan sebaliknya hendaklah diluluskan berdasarkan pertimbangan ekonomi serta keperluan semasa.
Jelasnya lagi, salah satu pertimbangan yang telah "ketinggalan zaman" adalah pemberian oleh kerajaan pusat berdasarkan bilangan penduduk negeri (capitation grant).
Beliau bagaimanapun berkata, sistem dana berpusat yang diamalkan oleh kerajaan persekutuan kini mempunyai kebaikan kerana dapat mengelakkan negeri-negeri daripada menyalahgunakan dana tersebut.
"Kalau ada negeri yang pinjam (daripada kerajaan pusat) tidak tentu arah, seluruh negara akan kucar-kacir," katanya lagi.
Jelasnya, beliau tidak menentang disiplin dalam pentadbiran kewangan seperti itu, tapi beliau menentang usaha kerajaan pusat untuk menghalang Selangor mendapatkan kembali dana yang diberikan kepada negeri.
"Saya tidak halang disiplin kewangan, tapi saya halang duit kita tak dapat balik. Setakat ini kita cukup duit untuk pentadbiran dan pembangunan, tapi kita nak banyak lagi sebab kita ada banyak lagi tempat untuk bangunkan," katanya.
Negeri tersebut, katanya, setakat ini hanya menerima RM400 juta berbanding sumbangannya kepada Kerajaan Persekutuan melebihi 16 bilion ringgit.
Daripada jumlah itu, RM200 juta diberikan melalui Geran Jalanraya Berdasarkan Maklumat Rekod-rekod Jalanraya Malaysia (Marris), dan selebihnya sumbangan melalui Pemberian Bilangan Penduduk (Capitation Grant).
Katanya, pemberian kerajaan pusat sebanyak RM200 juta setahun itu tidak lagi relevan kerana hanya dapat memberikan kira-kira sebanyak RM4 sebulan kepada setiap kira-kira 5 juta penduduk Selangor.
"Ini hanya cukup untuk sarapan pagi," katanya menjelaskan pemberian tersebut yang termaktub dalam Perkara 109 dalam Perlembagaan Persekutuan.
No comments:
Post a Comment