tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Wednesday, November 12, 2008

Malaysiakini.com : Mahkamah tolak permohonan Samy

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak dengan kos perintah injunksi interim yang dipohon Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu bagi menghalang bekas ketua pemuda MIC, M Vigneswaran dan tiga yang lain daripada terus menerbitkan artikel berunsur fitnah mengenai beliau.

samy velluHakim Rosnaini Saub dalam keputusannya berkata Samy Vellu (foto) gagal memuaskan hati mahkamah mengapa beliau perlu perintah injunksi interim itu dikeluarkan terhadap keempat-empat defendan tersebut.

Rosnaini dalam penghakiman bertulisnya berkata, tiada keterangan yang menunjukkan defendan-defendan itu mempunyai niat atau bercadang untuk mengulangi penerbitan dari tempoh artikel itu diterbitkan pada 7 Julai 2008 sehinggalah kepada tarikh Samy Vellu memperoleh perintah injunksi interim ex-parte pada 29 Julai 2008.

"Oleh itu dalam keadaan yang sedemikian, saya tidak nampak mengapa mahkamah perlu memberikan perintah injunksi yang dipohon oleh plaintif (Samy Vellu) di sini. Dengan lain perkataan, plaintif telah gagal menunjukkan keperluan untuk mewujudkan injunksi interim itu," kata Rosnaini dalam keputusannya yang dibacakan di dalam kamarnya.

Menurut Bernama, pada 29 Julai lalu, Samy Vellu memperoleh perintah injunksi interim ex-parte daripada Mahkamah Tinggi sama bagi menghalang kesemua defendan daripada terus menerbitkan artikel mengandungi fitnah mengenai beliau.

sa vigneswaranBagaimanapun, hari ini mahkamah setelah mendengar hujahan peguam yang mewakili Samy Vellu dan keempat-empat defendan dalam perbicaraan injunksi inter-partes memutuskan menolak permohonan injunksi Samy Vellu.

Bekas menteri kerja raya itu pada 24 Julai 2008 memfailkan writ saman terhadap Vigneswaran, editor syarikat akhbar harian Tamil iaitu Malaysia Nanban, M Maryanandy, penerbit akhbar Malaysia Nanban Penerbitan Sahabat (M) Sdn Bhd dan syarikat percetakan akhbar itu Aslita Sdn Bhd dan menamakan mereka sebagai defendan.

'Dakwa ada unsur-unsur fitnah'

Dalam pernyataan tuntutannya, Samy Vellu memohon gantirugi RM10 juta bagi libel, gantirugi untuk tort konspirasi, gantirugi teruk, kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Samy Vellu mendakwa defendan pertama Vigneswaran dan defendan ketiga iaitu Penerbitan Sahabat telah menerbitkan kenyataan fitnah berkaitan dirinya.

Defendan keempat Aslita Sdn Bhd didakwa telah mencetak artikel berbentuk fitnah itu dan defendan kedua merupakan pengarang akhbar berkenaan yang seharusnya bertanggungjawab terhadap artikel terbabit.

Samy Vellu berkata artikel berkenaan yang diterbitkan pada 9 Julai lepas pada muka surat satu dan sambungan artikel itu di muka surat empat akhbar Malaysia Nanban mempunyai unsur-unsur fitnah dan menjejaskan kredibiliti dan nama baiknya.

Beliau juga mendakwa tindakan para defendan bukan sahaja mencemarkan imejnya sebagai presiden parti tetapi juga mengubah tanggapan orang ramai terhadap keupayaan parti dalam melindungi kepentingan masyarakat India.

Vigneswaran pada 13 Ogos lepas memfailkan afidavit jawapan dengan mendakwa segala kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau adalah benar dan bukan fitnah dan kenyataan yang dikeluarkan itu adalah untuk menjalankan tanggungjawab beliau membela nasib golongan belia India.

'Sukar tentukan terjemahan'

Samy Vellu diwakili peguam S. Selvam sementara Vigneswaran diwakili peguam A Vasanthi dan A. Kumar dan tiga defendan lain diwakili peguam C S Arumugam dan Khairun Niza Husnin.

Hakim Rosnaini dalam penghakimannya berkata artikel yang disiarkan dan diterbitkan dalam bahasa Tamil dan terjemahannya dalam Bahasa Malaysia telah mewujudkan pertikaian kerana plaintif dan defendan pertama, kedua dan ketiga masing-masing mengemukakan terjemahan sendiri.

Beliau berkata dengan keadaan sedemikian, mahkamah mendapati sukar untuk menentukan terjemahan siapakah yang lebih tepat dan harus diterima.

"Apa pun saya berpendapat elok isu ini diputuskan di perbicaraan penuh kes ini. Bagaimanapun kewujudan terjemahan yang berbeza ini menjadikan kes tuntutan fitnah plaintif bukan satu kes yang ketara atau jelas," katanya.

Mengenai pembelaan dan afidavit balasan yang difailkan oleh defendan pertama (Vigneswaran), Rosnaini berkata ia bolehlah dirumuskan bahawa dalam kes ini pembelaan justifikasi dan komen yang adil oleh Vigneswaran tidak boleh dikatakan tidak berasas, terutamanya mengenai peruntukan RM20 juta yang dikatakan diberikan oleh kerajaan atas permintaan plaintif.

Beliau berkata merit pembelaan ini bagaimanapun hanya patut diputuskan pada perbicaraan penuh kes saman. Mahkamah, bagaimanapun belum lagi menetapkan sebarang tarikh untuk pengurusan kes saman Samy Vellu itu.

1 comment:

Anonymous said...

Siapa itu SAMY THAMBI VELLU?, HE IS A NOBODY LAH, NO MORE MINISTRY, SO no more contracts to hand out to cronies, so no more power mah. dsi thamby please lah retire and you go prepare yourself for the kambing-soon (coming) court cases to put you in your proper place, in jail, maika, telekom shares, tamil school bandar baru, and other cases. don't worry we will sapu also your whole family and your baruah from mic to follow you in exile to keep you company, like tamil movie in sg. buloh jail. have fun yah! lol hahahahaha