tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Monday, November 17, 2008

mStar Online : Peguam Negara digesa beri alasan bebaskan Razak Baginda

(mStar Online) - Pembangkang meminta Jabatan Peguam Negara memberikan alasan konkrit berhubung keputusan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan membebaskan Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, Abdul Razak Abdullah Baginda daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shariibuu.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata, sepanjang pengetahuannya, ketika Jabatan Peguam Negara mendapat fail kes, mereka dikatakan mempunyai cukup bukti untuk mendakwa Razak yang akhirnya menyebabkan Razak ditahan reman sepanjang perbicaraan.

"Apabila tiba masa pembebasan pada masa ini, tiada alasan konkrit yang diberikan...tiada yang berubah. Jika tiada yang berubah, kami akan tanya kenapa Jabatan Peguam Negara membuat keputusan yang sebaliknya iaitu rayuan tersebut tidak perlu (dilakukan).

"Ini penting kerana kes ini bukan sahaja mendapat perhatian dalam negara malah daripada masyarkat antarabangsa," katanya kepada media di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Jumaat lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang mengetuai barisan pendakwaan kes pembunuhan Altantuya berkata, pihaknya tidak akan memfailkan rayuan atas alasan Hakim Mohd Zaki Md Yasin yang memutuskan kes berkenaan sudah membuat penemuan fakta ketika membebaskanRazak daripada tuduhan tersebut.

Razak merupakan tertuduh ketiga dalam kes pembunuhan Altantuya dibebaskan 31 Oktober lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam setelah Hakim Mohd Zaki mendapati tiada kes prima facie bagi Razak untuk menjawab tuduhan.

Bagaimanapun, dua lagi terduduh iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas (UTK) diarah supaya membela diri atas tuduhan yang dihadapi dan akan memberikan keterangan secara bersumpah untuk membela diri mereka mulai 15 Januari tahun depan.

Pada masa yang sama, Gobind yang juga merupakan peguam bela kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ronnie Liu yang dituduh dengan sengaja bersubahat menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas pada November tahun lalu berkata, dakwaan ini merupakan satu lagi tekanan daripada kerajaan negara pusat ke atas wakil rakyat daripada pakatan pembangkang.

Beliau turut mempertikaikan mengapa dakwaan ke atas Liu pada hari ini berubah daripada daripada 'menghalang penjawat awam' kepada 'bersubahat menghalang penjawat awam'.

"Selain itu, mengapa dakwaan ini hanya dibuat selepas setahun ia berlaku sekaligus menunjukkan pasukan polis tidak dapat menyelesaikan satu kes yang mudah dalam masa setahun," katanya.

Gobind berkata, pihaknya akan mencabar keputusan dakwaan ke atas Ronnie pada 10 Februari depan.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan tuduhan ke atas Liu sebagai dakwaan politik ketiga selepas tsunami politik berlaku 8 Mac lalu; pertama, tuduhan liwat yang dikenakan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kedua, tuduhan menghasut terhadap penulis laman blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin.

Dalam pada itu, dalam sidang media yang sama, Liu yang turut hadir menegaskan beliau tidak bersalah dan dakwaan tersebut bermotifkan politik.

"Tiada siapa yang boleh menghalang Encik Lim dan orang ramai daripada percaya yang kes saya ini bermotif politik kerana jika kamu lihat, saya telah mengambil tindakan ke atas (Datuk Seri)Mohd Khir Toyo, bekas Menteri Besar Selangor kerana memfitnah saya berhubung kes yang sama.

"Justeru sukar untuk rakyat Malaysia percaya, hal ini tiada kaitan dengan politik," katanya.

Liu hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat menghalang pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Mohammad Hadzim Zulkapli dalam satu operasi mencegah maksiat di Hotel Chile, No 10, Jalan Kenari 6, Puchong dekat sini pada 2 Nov 2007.

Liu, 50, yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pandamaran didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM10,000 jika disabitkan kesalahan.

No comments: