tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Tuesday, November 18, 2008

MalaysiaToday : Isu hina Islam: 1 jam RPK disoal siasat polis

oleh Syukree Hussain

Sentul, 18 November - Pengendali laman web Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin (RPK) disoal siasat hampir sejam oleh pihak polis di Ibu Pejabat Daerah Polis Sentul di sini. Beliau yang ditemani isteri, Marina Abdullah dan lebih 20 penyokong tiba di balai tersebut kira-kira jam 2.30 petang.

Lima minit kemudian RPK terlebih dahulu membuat laporan polis terhadap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana tidak membenarkannya menunaikan solat Jumaat semasa berada di Kem Tahanan Kamunting (Kemta).

"Laporan dibuat termasuk berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Mufti Perak yang menyatakan tahanan ISA tidak perlu menunaikan fardhu Jumaat," jelasnya selepas keluar dari balai kira-kira jam 4 petang ini.

Beliau mula diambil kenyataan oleh polis pada jam 3 petang.

Walau bagaimanapun, RPK yang hadir bersama dua peguamnya, S Majitsidhu dan C Jadadish, tidak memberi sebarang kenyataan kerana sudah hampir 10 hari semasa beliau ditahan dalam ISA, kenyataannya sudah diambil termasuk berkenaan perkara tersebut.

"Saya pelik kenapa pihak polis mahu menyiasat dan mengambil kenyataan yang sudah saya berikan semasa dalam tahanan ISA," ujarnya.

Pihak polis menelefon beliau tengahhari tadi melalui ASP Aziz, memintanya hadir ke IPD Sentul berhubung kenyataan yang menghina Islam yang dipaparkan dalam laman web Malaysia Today.

Empat pihak iaitu Jakim, Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi), Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) dan Mufti Perak telah membuat laporan terhadap RPK lebih kurang empat bulan lepas berkenaan perkara tersebut.

"Apa yang disiarkan dalam laman web Malaysia Today yang dikatakan telah menghina Islam adalah dikirim oleh pelawat melalui ruangan komen," jelas RPK yang menafikan beliau terlibat menghina Islam.

Beliau tidak mengetahui sama ada beliau akan dipanggil semua atau tidak oleh pihak polis pada masa akan datang.

No comments: