tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Thursday, November 6, 2008

Malaysiakini.com - Mufti Perlis: Azwira, Juanda ganti Dr Asri?

Dua tokoh agama dicadangkan kepada Raja Perlis sebagai calon mufti Perlis bagi menggantikan Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang tamat perkhidmatannya hujung bulan ini.

dr juanda jaya perlis mufti candidate 081106Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini, pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Azwira A Aziz dan bekas naib mufti Sarawak, Dr Juanda Jaya (kanan) telah dicalonkan mengisi kerusi penting itu.

Sebelumnya bertugas sebagai ketua penolong mufti, anak Sarawak lulusan Universiti al-Azhar itu kini ketua penolong pengarah di bahagian dakwah Jabatan Agama Islam Sarawak.

dr mohd asri zainul abidin perlis muftiPada 7 Oktober lalu, Dr Mohd Asri memutuskan bersara mengejut akibat "tidak selesa dengan permainan politik" oleh beberapa pihak dalam kerajaan negeri berhubung pengendalian kontrak perkhidmatannya.

Beliau menyifatkan cara pengurusan kontraknya "macam main silap mata".

Sehari selepas itu beliau diterima mengadap Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menyatakan hasratnya itu.

Menjunjung titah Tuanku, tambah bekas pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu, beliau melanjutkan tempoh perkhidmatannya selama sebulan sebelum berlepas ke United Kingdom selama tujuh bulan bagi menjalankan kajian berkaitan pengajian hadis dan politik.

dr azwira a azizDihubungi semalam, Dr Azwira (kiri) mengesahkan telah dimaklumkan perkara itu oleh Dr Mohd Asri selepas pertemuan mufti popular itu dengan baginda.

Dr Azwira bagaimanapun belum membuat keputusan akan menerima pelantikan itu jika terpilih.

Pensyarah kanan di Jabatan al-Quran dan al-Sunnah itu merupakan pemegang doktor falsafah dari UKM, sarjana dari Jordan dan sarjana muda dari Universiti Islam Madinah.

Pengarang beberapa buku berkenaan akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah berkata akan menerima pelantikan itu jika mendapat sokongan padu daripada rakyat Perlis dan tidak terlibat dengan unsur-unsur politik seperti yang didakwa berlaku terhadap Dr Mohd Asri.

Bapa kepada lima orang anak itu juga berkata sedang menimbangkan faktor-faktor lain seperti sentimen kenegerian dan hal-hal peribadi melibatkan penghijrahannya ke negeri itu dan proses menamatkan perkhidmatannya dengan UKM.

Menjelaskan situasi kenegerian itu, beliau berkata:

"Dua minggu lepas saya ke Perlis. Saya lihat masih wujud sentimen kenegerian."

Anak kelahiran Kelantan itu kini menetap di Semenyih, Selangor. Dr Mohd Asri yang berasal dari Bukit Mertajam memecahkan tradisi apabila dilantik sebagai mufti Perlis dua tahun lalu.

Dr Azwira bagaimanapun tidak kisah sesiapa pun mengisi jawatan itu selagi mempunyai pemikiran dan fikrah Ahli Sunnah wal-Jamaah.

Ditanya fokus dan pendekatan beliau jika dipilih, beliau yang 16 tahun berpengalaman mengajar di UKM dalam bidang agama berkata:

"Saya ingin fikrah sunnah (Ahli Sunnah wal-Jamaah) diteruskan. Mungkin saya tidak setanding Dr Mohd Asri yang terkenal di peringkat nasional. Saya ingin fokuskan kepada aktiviti pemantapan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah di peringkat negeri."

Malaysiakini belum berjaya mendapat ulasan Dr Juanda, setakat ini.

mat isa sabu md isa sabuMenteri Besar Perlis Datuk Seri Mohd Isa Sabu pula ketika dihubungi semalam berkata kerajaan negeri belum dimaklumkan calon-calon untuk mengisi jawatan itu.

"Kita masih cari lagi (calon-calonnya)," katanya.

Majlis Agama Islam Perlis belum memaklumkan kepadanya berhubung calon-calon bagi mengisi jawatan itu, tambahnya.

Ditanya tentang ciri-ciri calon mufti baru yang diharapkannya, Mohd Isa berkata kerajaannya akan menerima siapa sahaja calon yang dicadangkan majlis itu dan yang diperkenankan Raja Perlis.

"Apapun bergantung kepada keputusan Tuanku. Baginda merupakan ketua agama Islam di Perlis," katanya.

Menurut prosedurnya, majlis agama Islam akan mencalonkan nama-nama pilihan sebelum dibentangkan dalam mesyuarat exco negeri.

Seterusnya, kata menteri besar, pelantikan akan dibuat jika mendapat perkenan baginda.

Bagaimanapun, wakil rakyat Bintong itu berkata, perkara itu belum dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri, termasuk semalam, tiga minggu sebelum jawatan itu kosong.

No comments: