tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Thursday, February 4, 2010

Ku Li sedia hadapi tindakan Umno

Ku Li KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, tindakan disiplin yang didesak sesetengah pihak dalam parti itu adalah tidak relevan dan Umno boleh mengambil apa sahaja tindakan yang mereka inginkan.

“Apa sahaja tindakan yang mereka hendak lakukan ke atas saya adalah tidak relevan,” kata beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang.

“Isunya apa yang undang-undang kata.  Undang-undang ialah Akta Pembangunan Petroleum yang membawa kepada kelahiran Petronas dan memberi Kelantan dan Terengganu hak perundangan kepada lima peratus hasil minyak yang ditemui dipesisir pantai,” katanya.


Tengku Razaleigh memberitahu, sebagai bekas Pengerusi Petronas beliau menggubal akta itu dan memeterai perjanjian-perjanjian berkaitan atas arahan Allahyarham Tun Abdul Razak, yang merupakan perdana menteri kedua.

“Oleh kerana beliau mahu memastikan negeri-negeri miskin di Semenanjung akan mendapat faedah dari minyak ditemui di pesisir. Beliau mengetahui bahawa mereka tiada minyak di darat dan dalam lingkungan perairan negeri,” katanya.

Tengku Razaleigh berkata, Umno boleh berbuat apa sahaja yang mereka inginkan.  Lebih-lebih lagi mereka masih perlu berurusan dengan soal undang-undang dan menghadapi rakyat,” terang beliau.

Beberapa pihak dalam Umno menggesa agar parti mengambil tindakan ke atas Tengku Razaleigh berikutan kenyataannya Khamis lepas yang mendakwa kerajaan negeri Kelantan kini patut mendapat bayaran royalti minyak dan bukannya wang ihsan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Dato’ Seri Mustapa Mohamed baru-baru ini berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas Tengku Razaleigh, yang pendiriannya bertentangan dengan kerajaan pusat berhubung bayaran
royalti minyak kepada Kelantan.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, hanya Majlis Tertinggi Umno yang boleh membuat keputusan dalam soal ini.

Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak pula berkata, pucuk pimpinan parti akan meneliti ucapan Tengku Razaleigh itu.

No comments: