tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Tuesday, February 9, 2010

Titik hitam demokrasi di Malaysia – Nizar

Oleh Ali Akhbar (FMT)

nizar n zambry PUTRAJAYA: Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan di sini hari ini sebulat suara memutuskan Zambry Abdul Kadir adalah menteri besar Perak yang sah.

Ketika membuat keputusan ini jam 11.00 pagi, mahkamah tertinggi itu juga menolak permohonan Mohamad Nizar Jamaluddin.

Dalam satu sidang media sejurus selepas keputusan itu, Nizar berkata keputusan ini merupakan satu titik hitam dalam sejarah sistem kehakiman di negara ini.

Beliau berkata, "kemelut politik di Perak nampaknya masih belum dapat diselesaikan kerana demokrasi masih diikat dan tidak bebas.

Bagaimanapun beliau belum membuat keputusan sama ada untuk memfail semakan semula atau tidak.

"kita akan kaji secara terperinci penghakiman bertulis dan saya meminta para penyokong supaya bersabar, bertenang dan tidak bertindak di luar batas undang-undang," katanya.

Alauddin Mohd Sheriff mengetuai lima panel hakim dalam membuat keputusan ini. Empat hakim lain ialah Arifin Zakaria, Zulkefli Ahmad Makinuddin, Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Abdull Hamid Embong.

Arifin yang membaca penghakiman itu memutuskan bahawa tidak perlu kepada undi percaya dilakukan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sultan boleh menyingkir menteri besar. Oleh itu, Zambry mendapat sokongan 31 kerusi dalam DUN.

Kamar Peguam Negara diwakili oleh ketua bahagian pendakwaan, Tun Abdul Majid Tun Hamzah dan Kamaluddin Md Said, ketua bahagian rayuan dan perbicaraan.

Para peguam Nizar terdiri daripada Philip Koh, Chan Kok Keong, Leong Cheok Keng, Edmund Bon, Mohd Hanifa Maidin, Ranjit Singh dan Razlan Hadri Zulkifli.

Para peguam Zambry ialah Cecil Abraham dan Sunil Abraham. Zambry sendiri tidak hadir di mahkamah ketika keputusan itu dibuat. Mohd Hafarizam Harun dan M Reza Hassan bertindak sebagai pemerhati bagi Umno.

No comments: