SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (gambar) bertitah agar Kerajaan Negeri teguh dengan pendirian mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain bagi memelihara akidah umat Islam.
Baginda menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) membincangkan dengan teliti mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember lalu yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh gereja Katolik.
Pengerusi Mais, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, baginda bertitah demikian ketika beliau, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dan peguam, Datuk Salehuddin Saidin menghadap Sultan berhubung isu itu, 5 Januari lalu.
Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas majlis taklimat dan perbincangan dengan 38 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di masjid negeri di sini semalam.
“Baginda turut menitahkan supaya Mais memaklumkan kepada rakyat bahawa terdapat undang-undang yang menghalang penggunaan kalimah Allah dalam memerihalkan agama bukan Islam,” katanya.
Menurutnya, larangan itu termaktub dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) yang diwartakan sejak 1988.
Malah jelas beliau, larangan juga diputuskan Jawatankuasa Fatwa negeri pada 10 Jun 2008 yang memutuskan kalimah Allah khusus untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan atau dimasukkan dalam agama lain.
Ekoran keputusan jawatankuasa itu serta Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang memutuskan larangan tersebut pada Mei 2008, beliau menegaskan, Mais membuat 14 ketetapan berhubung isu tersebut.
Menurutnya, antara ketetapan itu ialah istilah Allah bermaksud Tuhan Yang Maha Esa dan berlainan dengan maksud “God” dalam agama Kristian yang berkonsepkan Triniti (tuhan bapa, tuhan anak dan roh kudus).
Jika kalimah Allah dibenar digunakan dalam ajaran Kristian, ia mendatangkan pelbagai implikasi membahayakan umat Islam pada masa depan kerana ia mengelirukan,” katanya.
Selain itu, Mohamad Adzib berkata, Mais berpendirian keputusan mahkamah itu membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Perlembagaan menetapkan Islam agama rasmi Persekutuan dan keputusan itu juga bertentangan dengan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 yang digubal berasaskan Perkara 11 (4) Perlembagaan negara, katanya.
Belliau menegaskan, penggunaan kalimah Allah bagi merujuk agama bukan Islam tidak wajar dibicarakan di mahkamah kerana institusi itu bukan forum sesuai membincangkannya memandangkan perkara ini ‘tidak boleh diadili’ (non-justiciable) di bawah bidang kuasa raja-raja Melayu.
Oleh itu katanya, kerajaan Persekutuan harus menetapkan kes-kes berkaitan agama Islam tidak lagi dibicarakan di Mahkamah Sivil terutama melibatkan Hakim bukan Islam.
Pada 4 Januari lalu, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan Kerajaan Negeri boleh menghalang pihak yang menggunakan nama Allah bagi merosakkan Islam.
Sehubungan itu, Mais berharap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk campur tangan dalam isu penggunaan kalimah Allah itu.
“Mais merafak sembah Seri Paduka Baginda untuk menggunakan kuasa di bawah Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan untuk merujuk isu ini.
“Campur tangan Raja-Raja Melayu dalam urusan ini amat diperlukan kerana ia bukan sahaja menyentuh bidang kuasa raja-raja dalam agama Islam tetapi sensitiviti umat Islam,” katanya.
Mohamad Adzib berkata, Mais dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan pihak polis akan menguatkuasakan segera Enakmen Kawalan dan Perkembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam.
No comments:
Post a Comment