tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Monday, March 8, 2010

FMT : Prestasi Ekonomi Cemerlang Negeri-Negeri PR Setelah 2 Tahun

Oleh Zainal Abidin Nor

PETALING JAYA: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim menghuraikan prestasi ekonomi cemerlang di empat buah negeri Pakatan Rakyat (PR) bersempena ulang tahun kedua pentadbirannya.

Bercakap pada sidang media PR di ibu pejabat KEADILAN di sini semalam, beliau berkata, "Pakatan Rakyat akan terus memastikan dasar-dasar yang dilaksanakan di dasari prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban."


Anwar yang juga Ketua Pembangkang dan penasihat ekonomi negeri Selangor menjelaskan prestasi yang cemerlang ini adalah lebih baik ketika di perintah oleh Umno-Barisan Nasional (BN) satu ketika dahulu.
Sebagai contoh, negeri Selangor telah mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM6.76 bilion pada tahun 2009 dan mewujudkan sebanyak 20,753 peluang pekerjaan.

Dari jumlah pelaburan tersebut katanya, sebanyak RM2.75 bilion atau 40.8% merupakan pelaburan tempatan.  Projek industri yang diluluskan di Selangor ialah sebanyak 278, yang tertinggi di negara ini.
Menurut Anwar, kerajaan negeri Selangor juga berjaya memulihkan Keluaran Dalam Negara Kasar yang menguncup sebanyak 3.87% tahun 2009 kepada sasaran pertumbuhan di antara 6-7% tahun 2010.

Selangor juga katanya, berjaya mengurangkan indeks jenayah sebanyak 5.3% iaitu dari jumlah 54,339 kes sepanjang tahun 2009 berbanding 57,704 kes tahun 2008.

Sebanyak RM6 juta diperuntukan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri Selangor bagi menjalankan aktiviti pendidikan dan pembelajaran berteraskan Islam sepanjang 2010.

Sebelum ini, ketika di bawah pentadbiran Umno-BN, SAR tidak pernah mendapat sebarang peruntukan kewangan dan peralatan pembelajaran.

Sejak dasar Daya Saing, Pertanggungjawaban dan Ketelusan atau CAT dilaksanakan, kerajaan negeri Pulau Pinang berjaya merekodkan lebihan belanjawan sebanyak RM88 juta tahun 2009 berbanding defisit belanjawan sebanyak RM35 juta tahun 2008.

Sebanyak 104 projek diluluskan, ketiga tertinggi di negara ini dan kerajaan negeri telah mewujudkan seluas 200 ekar hub pendidikan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat pendidikan terunggul.

Anwar menerangkan kerajaan negeri yang diterajui oleh DAP ini memberi pengiktirafan serta bantuan kewangan (secara tunai) kepada pelajar terbaik SPM dan STPM serta para huffaz.

"Setiap sekolah SAR diberi sebanyak RM97,000, setiap Sekolah Kebangsaan Cina sebanyak RM60,000 dan setiap Sekolah Kebangsaan Tamil sebanyak RM63,000, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM11.3 bilion," kata beliau.

Kerajaan negeri juga telah berjaya membasmi kemiskinan tegar dalam satu tahun sahaja dan menjamin setiap setiap keluarga mendapat RM500 sebulan.

Di bawah pentadbiran Menteri Besar Ustaz Azizan Abdul Razak, kerajaan negeri Kedah mencatat pelaburan keseluruhan lebih RM839 juta bagi tempuh Januari hingga September 2009.

"Ini melibatkan nilai pelaburan tempatan sebanyak RM279.4 juta dan pelaburan asing sebanyak RM559.8 juta," jelas beliau.

Kerajaan negeri juga telah berjaya melibat gandakan hasil pendapatan dari aktiviti pembalakan.  Dengan keluasan 1,000 ekar, Kedah mendapat hasil sebanyak RM16.7 juta.  Ini tidak termasuk hasil cukai setiap tan metrik apabila balak dikeluarkan dari hutan.

Sedangkan di bawah pentadbiran Umno-BN, dengan keluasan yang sama, hanya mampu mengutip RM3 juta hingga RM4 juta sahaja termasuk cukai kayu setiap tan metrik.

"Kejayaan ini merupakan hasil dari pelaksanaan dasar yang telus serta tidak berkompromi dengan rasuah," terang beliau.

Walaupun Kelantan di anaktirikan oleh kerajaan pusat sejak 20 tahun yang lalu, tetapi Kelantan tetap berjaya dengan program negeri berkebajikan.

"Program Kifalah untuk anak yatim, golongan miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya telah menjadi contoh kepada kebanyakan negeri.

"Begitu juga dengan program Perbadanan Ladang Rakyat yang membantu golongan marhaen, Bandar Baru Tanjung dibina menjadi pusat komersial satelit kepada Kota Bharu.

Di samping itu kata Anwar, kerajaan negeri juga telah berjaya mengambil alih pengurusan bekalan air dari Thames Water kepada Air Kelantan.

PMBK, kini muncul sebagai agensi pelaburan utama negeri Kelantan, yang sebelum ini gagal dimajukan ketika di bawah pentadbiran Umno-BN sebelum tahun 1990.

Selain itu, kerajaan negeri telah berjaya mengurus 20 buah sekolah agama bantuan penuh yang cemerlang dan menjadi saingan kepada sekolah premier di bawah Kementerian Pendidikan.

Kemahiran pelbagai syarikat multinasional adalah bukti kukuh kuasa beli rakyat Kelantan terus kukuh.  Sepanjang 20 tahun pemerintahan yang diterajui oleh PAS, ekonomi tempatan dibina secara kendiri tanpa bantuan stimulus dari kerajaan pusat.

Selain Anwar, turut hadir dalam sidang media bersama itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; dua Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Sallahuddin Ayub;Naib Presiden KEADILAN, Azmin Ali; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KEADILAN, Datuk Mohd Zaid Ibrahim dan ahli exco negeri Selangor, Ronnie Liu.

No comments: