tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Monday, March 15, 2010

MK: Khalid minta MARA perjelas isu Anggerik Mall

Ahli parlimen Khalid Samad meminta pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan menteri berkenaan supaya tampil memberikan penjelasan berhubung penyewaan sebuah pusat membeli-belah kepada sebuah syarikat swasta.

Katanya, bermula Julai tahun lalu, kompleks tersebut diserahkan di bawah pentadbiran syarikat Inno Elegan Sdn Bhd yang dimiliki naib ketua Puteri Umno Wilayah Persekutuan, Huzry Fionnawatty Hussein.

Khalid mendakwa para peniaga di situ tertekan kerana kurang pelanggan kerana syarikat berkenaan didakwa tidak mahu belanja untuk promosi.

Bercakap dalam sidang media di pejabatnya di Shah Alam hari ini, beliau berkata, bangunan tersebut disewakan keseluruhannya kepada Inno Elegan dengan nilai RM22,000 dan disewakan semula kepada peniaga sebanyak RM60,000 (untuk kesemua lot).

Katanya, jumlah sewaan satu lot boleh mencecah kepada RM2,000 mengikut keluasan dan lokasinya dalam pusat membeli-belah tersebut.

Sebelum ini, tambahnya, MARA menyewakan terus lot-lot kedai di pusat membeli-belah di pusat bandar Shah Alam itu secara langsung kepada peniaga.

Khalid juga mendakwa sewaan kepada Inno Elegan adalah tempoh selama sembilan tahun dan diperbaharui setiap tiga tahun.

Menyentuh soal 'penglibatan' pemimpin Puteri Umno dalam syarikat tersebut, Khalid berkata:

“Saya tidak pertikaikan syarikat tersebut, saya minta MARA dan menteri (bertanggungjawab pada) MARA (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar) beri penjelasan.”

Khalid berkata, beliau membangkitkan perkara tersebut kerana diminta peniaga kawasan terbabit bagi berbuat demikian.

Sementara itu, Huzry Fionnawatty berkata beliau sedia bersemuka dengan ahli parlimen Shah Alam, untuk menjelaskan kedudukan sebenarnya mengenainya.

Sambil menafikan dakwaan bahawa tiada promosi diadakan di situ, Huzry berkata, sebagai contoh, satu program untuk kanak-kanak sedang berlangsung di pusat membeli-belah sekarang sehingga 22 Mac ini, dengan kerjasama sebuah syarikat minyak terkemuka.

Huzry Fionnawatty juga menjawab dakwaan Khalid bahawa bangunan tersebut disewakan keseluruhannya kepada Inno Elegan dengan nilai RM22,000 dan disewakan semula kepada peniaga sebanyak RM60,000 (untuk kesemua lot), berkata.

Pemimpin Puteri Umno itu, jumlah RM60,000 meliputi pelbagai kos yang ditanggung syarikatnya termasuk kos penyelenggaraan, pembetungan, elektrik dan air serta menyediakan perkhidmat an pengawal keselamatan.

No comments: