Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat exco kerajaan negeri, Yaakob Sapari di Shah Alam tengah hari ini.Dipercayai pegawai SPRM telah mengarahkan seorang pembantu exco tersebut, yang dikenali sebagai Hussein Ahmad, datang ke pejabat SPRM Selangor untuk disoalsiasat.
Menurut sumber-sumber, satu laporan telah dibuat kepada SPRM terhadap Hussein berhubung dakwaan rasuah membabitkan penjualan pasir.
Yaakob adalah pengerusi pengurusan sumber alam dan pembangunan ssahawan negeri.
Difahamkan, lima pegawai SPRM, yang diketuai oleh Penguasa Premraj Victor, masih berada di pejabat Yaakob.
Sementara itu, jurucakap sekretariat media kerajaan negeri berkata, siasatan SPRM itu dipercayai ada kaitan dengan isu pasir.
Menurutnya, SPRM mahu menahan Husin tetapi dibantah oleh kakitangan di pejabat itu kerana pekeliling kerajaan Selangor tidak membenarkan soalsiasat di luar pejabat dan di luar waktu pejabat
Turut kelihatan di situ sebelum ini ialah penasihat undang-undang negeri, Salim Bashir dan pengerusi kesatuan pegawai khas Pakatan Rakyat, Razak Ismail.
Jurucakap itu juga mendakwa yang pegawai SPRM datang tanpa membawa sebarang notis atau waran tangkap.
Difahamkan insiden ini ekoran pertelingkahan tentang pengurusan syarikat kaitan kerajaan, kumpulan Semesta yang menguruskan penjualan pasir.
Sebelum Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri Selangor, didakwa banyak kes kecurian pasir.
Oleh itu, ia diserahkan kepada Kumpulan Semesta untuk mengendalikannya dan ia terletak dalam bidangkuasa Yaakob selaku yang bertanggungjawab terhadap portfolio tersebut.
Namun begitu, difahamkan masih terdapat aduan yang diterima termasuk dari kalangan ADUN Pakatan sendiri.
Malah, ADUN Bukit Antarabangsa dari PKR, Azmin Ali juga pernah menegur prestasi kumpulan Semesta dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
No comments:
Post a Comment