tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Sunday, January 3, 2010

Rasuah membelit Umno Kota Tinggi

Oleh Isma Ahmad
Kini giliran Umno Bahagian Kota Tinggi di bawah kepimpinan Tan Sri Syed Hamid Albar pula mencemar imej parti apabila enam ahlinya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, atas dakwaan rasuah.
Menurut laporan media arus perdana, mereka yang ditahan ialah Ketua Pergerakan Pemuda, Roszaini Jahari bersama abangnya dan empat individu lain.
Seorang daripada mereka adalah penduduk setempat yang ditugaskan sebagai ‘penunjuk jalan’, seorang lagi ahli Umno bahagian yang membawa duit, seorang ahli Bahagian Pengerang dan seorang pergerakan pemuda dari Sedili.

Menjelang pendakwaan oleh SPRM, cerita mengenai pemimpin dan ahli-ahli Umno itu terus menjadi tanda tanya dan perbualan dikalangan ahli Umno dan penduduk tempatan.
Rata-rata ahli Umno bahagian itu sudah mengetahui cerita sebenar. Rata-rata seteru politik kepada individu-individu yang ditahan meluahkan ungkapan ‘Itulah Balasan Allah’.  Mereka tumpang gembira apabila melihat tokoh-tokoh berkenaan ‘masuk perangkap’ juga
akhirnya.

Sejak tiga minggu lalu, susulan mesyuarat tergempar serta desakan oleh ahli pergerakan pemuda supaya ketuanya (Roszaini) meletak jawatan, isu itu menjadi hangat dari hari ke sehari.
Dalam satu perjumpaan di sebuah hotel di bandar ini, majoriti pimpinan pergerakan Pemuda Umno cawangan-cawangan melahirkan rasa marah dan menghantar memorandum kepada Roszaini meminta beliau meletak jawatan dan di adakan mesyuarat agung luar biasa (EGM).
Walaupun usaha-usaha diplomasi masih dijalankan, tetapi ketua pemuda yang dilabel sebagai penyokong Syed Hamid Albar itu tidak ambil pusing terhadap usaha-usaha yang diterajui oleh Naib Ketua Pergerakan Pemuda bahagian, Misran Tukiman.
Susulan pertemuan yang diadakan dengan Naib Ketua Pergerakan Pemuda, Datuk Razali Ibrahim di Johor Bahru, dan tindakan Roszaini yang terus tidak hadir dalam pertemuan itu menyebabkan 18 ahli jawatankuasa (AJK) pemuda termasuk Misran meletak jawatan.
Berikutan tindakan AJK pemuda yang meletak jawatan dan yang tersebar di media arus perdana itu maka usaha melobi dan ‘membeli’ 18 AJK pemuda itu supaya menarik balik perletakan jawatan pun berlaku.
Bagaimanapun, apabila takdir dan suratan Allah SWT sudah ditetapkan, tiada seorang pun yang dapat menghalangnya, peristiwa enam individu ‘malang’ itu ditahan pihak berkuasa SPRM pun berlaku, sekali gus memalukan parti Umno dibawah pimpinan Datuk Seri Mohd
Najib Abdul Razak.

Ketika ini, menjelang pendakwaan yang bakal dikenakan ke atas enam individu termasuk ketua pergerakan itu, jawapan kepada kemelut itu ialah mengadakan EGM dan pemilihan semula jawatan-jawatan dalam Pergerakan Pemuda Umno bahagian itu.
Untuk menyegerakan usaha itu, perhatian tentunya tertumpu kepada Ketua Umno Bahagian, Syed Hamid Albar. Walaupun tidak terbabit dalam isu penahanan itu, sebagai Ketua Umno Bahagian dan  pemimpin berpengaruh, mahu tidak mahu beliau turut merasai
‘bahangnya’.

No comments: