KOTA BHARU, 14 Jan: Selepas perbicaraan berlangsung lebih tiga tahun akhirnya Naib Presiden PPP, Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff dijatuhkan hukuman penjara enam bulan.
Beliau didapati bersalah menyembur bahan pemedih mata ke arah mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2006 ketika menghadiri satu program di sini.
Nik Sapeia, seorang usahawan dalam bidang perkapalan dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Dr Mahathir, Datuk Ibrahim Ali dan beberapa orang lagi di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa pada 28 Julai 2006.
Mahkamah Majistret Kota Bharu bagaimanapun membenarkan hukuman ke atasnya ditangguhkan sementara menunggu selesai proses rayuan.
Majistret Azman Mustaffa berkata, pelaksanaan hukuman terhadap Nik Sapeia ditanggguhkan sehingga rayuan dibuat di Mahkamah Tinggi.
Menurutnya, kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau denda, atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.
Nik Sapeia diwakili peguam bela Zainal Abidin Mustapha.
Kes tersebut mendapat perhatian ramai sebelum ini kerana ia membabitkan seorang negarawan.
Harakahdaily.net/-
No comments:
Post a Comment