
Kesediaan kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) Selangor mengambil alih tanggungjawab untuk memungut hutang dari syarikat pemaju Talam Corporation Bhd bernilai RM391 juta adalah untuk kepentingan rakyat.
Berucap di forum bertajuk “Menyelamatkan Perolehan Hutang Rakyat Selangor”, di Shah Alam semalam, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata, langkah mengambil alih kutipan hutang dari Talam adalah ekoran dari projek-projek pembangunan hartanah yang dijalankan secara usahasama dengan Talam oleh anak-anak syarikat kerajaan negeri sejak 10 tahun lalu.”
“Jangan salah anggap. Ia bukanlah satu bentuk “penyelamat” (bail-out) tetapi langkah mendapatkan kembali sejumlah wang tersebut,” katanya.
Menurut Khalid, kini Menteri Besar Incorporated akan melaksanakan rancangan untuk memastikan Talam melunaskan hutangnya. Semua kutipan hutang akan disalurkan ke dalam dana yang disatukan di bawah kerajaan
negeri.
Anak-anak syarikat kerajaan negeri yang terlibat dengan projek-projek perumahan dengan Talam ialah Kumpulan Darul Ehsan Bhd, Permodalan Negeri Selangor Bhd dan Yayasan Pendidikan Selangor.
Pada 9 November lalu, Dewan Negeri Selangor meluluskan bajet tambahan sebanyak RM391 juta untuk Menteri Besar Inc. untuk membeli hutang Talam dari kerajaan negeri.
Dalam satu kenyataannya, Khalid berkata dalam kes-kes yang terdahulu, hutang-hutang ini tidak dizahirkan atau tidak direkodkan dengan baik dalam penyata kewangan anak-anak syarikat sebagai pemiutang. Ini sangat penting dalam perakaunan.
Beliau menegaskan bahawa tidak ada usaha dari kerajaan negeri di bawah Umno-Barisan Nasional yang terdahulu untuk mencatat dan menuntut hutang-hutang ini.
“Kerajaan negeri, melalui anak-anak syarikat ini, menanggung risiko untuk melupuskan hutang-hutang ini (write-off), jika langkah sewajarnya tidak diambil,” jelas beliau.
No comments:
Post a Comment