tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Tuesday, December 22, 2009

FMT : Rosli Allani letak jawatan jaga imej Pas

KOTA BHARU – Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Dr Rosli Allani Abd Kader hari ini meletakkan semua jawatannya dalam parti serta merta untuk tidak menjejaskan imej Pas.
Beliau yang tegas mendesak pengunduran segera menantu Datuk Nik Aziz Nik Mat, Abdul Ariffahmi Ab Rahman sebagai peneraju Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) menyangkal dakwaan peletakan  jawatannya itu kerana tekanan.
Dr Rosli Allani, 35,  turut menafikan keputusannya itu kerana kegagalan Pemuda PAS negeri mengadakan mesyuarat berhubung peletakan jawatan  Abdul Ariffahmi.

Sebaliknya, ia berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu yang memerintahkannya tinggal berasingan dengan isteri keduanya untuk menjaga nama dan imej PAS.
Semalam, Dr Rosli Allani diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini supaya tinggal berasingan sementara (mufarakah) dengan isteri keduanya, Ilyani Mohd Nor, 30, kerana perkahwinan mereka diragui memandangkan ia menggunakan khidmat satu sindiket di Subang, Selangor, pada Disember tahun lalu.
Dr Rosli mengumumkan peletakannya itu dalam satu sidang akhbar di sebuah hotel di Kota Bharu tengah hari ini. Bagaimanapun, beliau kekal sebagai ahli Pas.
Pada sidang akhbar itu Dr Rosli Allani, yang juga bekas pegawai khas Anggota Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa memberitahu keputusannya itu bagi mengelakkan Pas diheret ke dalam masalah peribadinya.
"Walaupun saya yakin berada di pihak benar, demi menjaga nama baik, integriti dan persepsi masyarakat ke atas Pas maka saya meletakkan semua jawatan saya dalam Pas berkuatkuasa serta merta," katanya dalam satu sidang akhbar di sini.
Beliau berkata surat peletakan jawatannya akan dihantar kepada Dewan Pemuda Pas Kelantan dalam masa terdekat.
Beliau juga sudah memberitahu Ketua Pemuda Pas Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman, berhubung hasratnya itu.
Sementara itu, Dr Rosli meminta akhbar yang menyiarkan berita mengenai masalah peribadi beliau supaya memohon maaf secara terbuka dalam tempoh tiga hari bagi mengelak tindakan undang-undang dikenakan.
Menyentuh perancangannya, beliau belum memutuskan sama ada mahu meneruskan kerjayanya sebagai doktor perubatan atau menceburi bidang lain.

No comments: