tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Wednesday, December 30, 2009

Polis serah semula laporan siasatan kehilangan jet kepada peguam negara

Polis telah hantar semula kertas siasatan berhubung kes kehilangan dua enjin jet pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kepada Jabatan Peguam Negara semalam setelah diminta membuat siasatan lebih terperinci, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.
"Kita hantar semula selepas ia siap dan dikemaskini. Kita perlu menunggu mereka untuk tindakan seterusnya," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Musa mengesahkan hanya dua enjin sahaja yang hilang dan bukan empat seperti yang dilaporkan sesetengah media berdasarkan sumber.

Oleh itu, beliau meminta semua pihak menghentikan spekulasi mengenai perkara itu.
Musa berkata tiada lagi tangkapan akan dilakukan ketika ini dan segala-galanya bergantung kepada jawapan daripada Jabatan Peguam Negara.
Sebelum ini, empat orang termasuk tiga pegawai rendah Tentera Udara Diraja Malaysia ditahan dan dibebaskan dengan jaminan kerana disyaki terlibat dalam kes berkenaan.
Minggu lepas, Jabatan Peguam Negara mengembalikan semula kertas siasatan kes berkenaan bagi membolehkan polis menyiasat lebih lanjut dan mendapatkan dokumen-dokumen yang penting yang berkaitan, di samping mengenal pasti bagaimana enjin ini boleh dibawa ke luar negara.
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menyifatkan kes kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E itu sebagai "perkara serius", dan memberi jaminan pejabat beliau akan berusaha habis-habisan bagi menyelesaikan kes tersebut.
Mengenai siasatan sindiket penjualan bayi yang dibongkar di Klang, Musa berkata polis tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu lagi akan disoal siasat atau ditahan.
Siasatan yang lebih menyeluruh sedang dijalankan kerana sindiket ini melibatkan ramai orang dan perlu ditangani dengan terperinci, katanya.
Sehingga ini polis berjaya menyelamatkan 10 bayi berumur lingkungan dua minggu hingga sembilan bulan serta seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.
Seorang wanita serta dua anak perempuannya sudah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memperdagang tiga bayi.

No comments: