tagline
Wednesday, December 16, 2009
Inkues kes Teoh ditunda lagi, 7 Jan
Prosiding inkues bagi menyiasat kematian setiausaha politik exco Selangor, Teoh Beng Hock, di Mahkamah Majistret Shah Alam ditangguhkan sekali lagi ke 7 Januari depan.
Peguam Gobind Singh Deo, ketika dihubungi media, memberitahu kes itu akan disebut semula pada tarikh tersebut bagi membolehkan kesemua pihak terbabit memberitahu perkembangan terkini kepada mahkamah terhadap keputusan bedah siasat kedua mayat Teoh.
Pihak media difahamkan laporan bedah siasat oleh pakar patologi dari Hospital Sungai Buloh itu masih belum disiapkan.
Tarikh perbicaraan baru bagi kes itu akan ditetapkan pada 7 Januari nanti, menurut Gobind, peguam bagi keluarga Teoh.
Pada 22 November lalu, sekumpulan pakar patologi di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh yang diketuai Ketua Unit Patologi Dr Shahidan Md Noor selesai melakukan bedah siasat kali kedua ke atas mayat mendiang yang digali semula sehari sebelum itu.
Mayat Teoh dikebumikan semula pada 24 November di Taman Peringatan Nirvana, Semenyih.
Teoh, 30, setiausaha politik kepada Adun Seri Kembangan, Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang berpejabat di plaza itu. BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment