tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Wednesday, December 23, 2009

Mahkamah benar Rosli soal pendakwa raya

Oleh Fazilah Sahir
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam menolak permohonan pendakwa raya bagi menghalang pihak penguam bela mencabar kesahihan notis jawapan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, ketika itu Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Timbalan pendakwa raya, Anthony Kevin Morais mengeluarkan notis tersebut terhadap peguam, Rosli Dahlan bersabit pengisytiharan harta milik beliau (Rosli).

Hakim Abu Bakar Katar menetapkan 5 hingga 7 Januari depan bagi membenarkan Rosli menyoal balas Anthony.
Datuk Kumaraendran yang mewakili Rosli berkata, notis yang dikeluarkan oleh Anthony itu bersifat “mala fide” (berniat jahat). “Ini kerana Anthony tidak mengikut undang-undang. Tiada alasan munasabah bagi notis tersebut dikeluarkan kepada Rosli. Kami telah
mengemukakan fakta-fakta tersebut di mahkamah semalam,” katanya kepada para pemberita di luar mahkamah.
Rosli, ketika ditemui mendedahkan penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa semasa beliau ditahan bulan Oktober 2007. “Saya sepatutnya bukan ditangkap tetapi hanya perlu memberikan keterangan seperti yang dikehendaki oleh mereka, namun mereka menggari tangan sehingga mengakibatkan kecederaan di pergelangan tangan. Ini tidak sepatutnya berlaku, keadilan untuk saya dinafikan,” katanya.
Rosli yang mendakwa menjadi mangsa konspirasi jahat BPR ekoran dituduh bersekongkol dengan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff dengan bertindak membela dan membantu pendakwaan kes sindiket pinjaman wang haram pada tahun 2007.
Malah Datuk Ramli yang didakwa BPR atas tuduhan menyalahguna kuasa digugurkan dari jawatannya atas tuduhan kononnya beliau memiliki aset RM27 juta.  Beliau (Rosli) turut menerima tempiasnya apabila dituduh bersekongkol sehingga diberi notis oleh BPR bagi
mengisytiharkan hartanya.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 3(1) (b) Akta Anti-Rasuah 1997 kerana tidak menjawab notis pengisytiharkan harta yang dikeluarkan oleh Anthony dalam percubaan mengaitkan beliau dalam siasatan yang melibatkan Datuk Ramli dua tahun lalu.
Jika disabitkan kesalahan beliau akan dipenjarakan sehingga 20 tahun dan didenda maksimum RM100,000.

No comments: