tagline

THIS IS NOT A POLITICAL BLOG BUT A BLOG FOR A BETTER MALAYSIA!

Monday, December 14, 2009

Bala sudah hubungi SPRM

Penyiasat persendirian P Balasubramaniam sedia  bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan mengenai pembabitan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan kerabatnya dalam kes Altantuya Shariibuu.
Bekas pegawai polis itu meletakkan syarat mahukan SPRM mengambil keterangannya sama ada di London atau Singapura sebagai langkah keselamatan diri dan keluarganya. Bala bimbang  dengan pelbagai kemungkinan jika sesi keterangan itu diadakan di Malaysia.
Beliau sudahpun menyatakan hasratnya itu dengan  menghubungi SPRM menerusi surat tawaran yang dihantar oleh peguamnya Americk Singh kepada pegawai penyiasat badan berkenaan Abdul Rahman Bachok awal bulan ini.


Bagaimanapun setakat ini SPRM belum memberikan jawapan rasmi kepada Bala.
Bala berlindung di luar negara sejak Julai tahun lalu, selepas beliau membuat akuan bersumpah kali kedua untuk menafikan akuan bersumpah pertamanya yang di buat 24 jam sebelum itu dalam keadaan yang mencurigakan.
Dalam akuan bersumpahnya pada 3 Julai 2008, Bala mengaitkan hubungan Najib dengan model Mongolia itu tapi sehari kemudian menarik balik dakwaannya dengan akuan bersumpah kedua.
Pengakuan Bala itu akan menjurus kepada hubungan antara Najib dengan Altantuya dan ugutan yang dikatakan dibuat oleh adik Perdana Menteri, Nazim, untuk menafikan sebarang pengetahuan mengenai hubungan itu.
Bala juga bersedia memberi keterangan mengenai pembabitan Deepak Jaikishan, seorang peniaga permaidani yang dikaitkan dengan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor.
Deepak dikatakan telah menawar rasuah RM5juta kepada Bala untuk membuat pengakuan bersumpah menafikan hubungan antara Najib-Altantuya. Beliau turut memujuk Bala meninggalkan negara setelah membuat pengakuan itu.
Sementara itu, Suara Keadilan memperolehi salinan surat yang dihantar oleh Americk kepada SPRM.
Antara syarat lain yang dituntut oleh Bala untuk memberi keterangan kepada SPRM ialah :
1. Tarikh dan masa memberi keterangan dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.
2. Kos penerbangan, penginapan dan pengangkutan untuk Bala dan peguamnya ditanggung oleh SPRM.
3. Bala harus diberikan salinan kenyataan yang dibuatnya kepada SPRM manakala peguam Bala berhak untuk merakamkan keterangan itu dalam bentuk video.
Americk berkata syarat berkenaan adalah perlu kerana Bala bimbangkan keselamatan diri dan keluarganya.
Ketika dihubungi, pegawai penyiasat SPRM yang dirujuk oleh Americk, enggan mengulas mengenai kesediaan Bala untuk memberi keterangan.
“Saya tidak boleh komen apa-apa mengenai perkara ini. Kena tanya Pengarah Penyiasatan (Mohd Shukri Abdul). Hanya beliau sahaja yang boleh beri komen,” kata Abdul Rahman.
Mohd Shukri tidak dapat dihubungi.

No comments: