Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menggugurkan 66,616 nama daripada rekod pemilih berdaftar kerana pertukaran alamat, kematian, dilucut kewarganegaraan dan sebagainya dalam Daftar Pemilih Tambahan (DPT) bagi suku tahun ketiga 2009. DPT yang diperakui SPR itu adalah bagi tempoh Julai hingga September tahun ini. Berikutan itu, jumlah pemilih pendatar terkini ialah seramai 11,085,863 - termasuk 81,625 pemilih dalam DPT suku tahun ketiga itu, yang terdiri daripada 67,502 permohonan pemilih baru dan 14,123 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi. Dalam satu kenyataan hari ini, SPR turut memohon kerjasama orang ramai untuk membantu SPR membersihkan daftar pemilih daripada senarai nama pemilih berdaftar yang meninggal dunia. "SPR memohon kerjasama mana-mana waris untuk menghantar salinan sijil kematian atau permit mengubur waris-waris mereka yang telah meninggal dunia kepada SPR. "Waris-waris boleh menghantar salinan tersebut secara pos atau faks atau datang sendiri ke mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri ataupun ke Ibu Pejabat SPR di Putrajaya," menurut kenyataan itu. Pemilih berdaftar turut digalakkan untuk menyemak Daftar Pemilih Induk 2006 bagi tujuan membuat pembetulan ke atas sebarang kesilapan seperti ejaan nama, nombor kad pengenalan, alamat, jantina dan sebagainya. Orang ramai yang berminat boleh membeli DPT Suku Tahun Ketiga 2009 dengan membuat tempahan di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya. Sebarang pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi SPR di 03-8885 6500, mana-mana Pejabat Pilihanraya Negeri ataupun di laman web www.spr.gov.my. - Bernama |
tagline
Wednesday, December 2, 2009
66,616 nama digugur dari senarai pemilih
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment