Satu ‘Perhimpunan Rakyat’ sebagai tanda sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar)akan diadakan di Kota Bharu esok sekali gus melenyapkan segala desas-desus spekulasi kononnya wujudnya usaha memulau Menteri Besar Kelantan itu di kalangan pemimpin negeri itu.
Menurut setiausaha Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan Mohd Zaki Ibrahim, perhimpunan itu dianjurkan oleh saf kepimpinan Pas negeri dengan sokongan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri.
"Perhimpunan esok jauh lebih besar dan ramai daripada tunjuk perasaan yang dianjurkan oleh Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan (JPRK)," katanya. Tak sampai 100 orang menyertai tunjuk perasaan anjuran JPRK itu.
Beliau berkata, perhimpunan itu juga akan menyatakan deklarasi sokongan penuh ke atas kepimpinan Nik Aziz.
Perhimpunan itu akan diadakan serentak dengan kuliah subuh mingguan Nik Aziz setiap Jumaat di hadapan bangunan PAS di Kota Bharu.
"Beberapa pemimpin NGO akan memberi ucapan untuk menyatakan sokongan mereka dan rakyat Kelantan kepada kepimpinan Tok Guru Niki," kata Zaki yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kelaboran seperti yang dilaporkan oleh Malaysian Insider.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu menambah, usaha itu yang digerakkan pemimpin-pemimpin PAS negeri dengan sokongan beberapa NGO bertujuan menunjukkan kepada umum bahawa rakyat negeri Kelantan masih menyokong padu kepimpinan Nik Aziz yang kini berhadapan dengan serangan bersiri daripada musuhnya, Umno sebagai desakan untuk memaksa Nik Aziz meletakkan jawatan.
Kelmarin Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata beliau tidak akan tunduk kepada desakan Umno agar melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan, sebaliknya hanya akan melayan gesaan seumpama itu jika datang daripada kepimpinan PAS sendiri.
Kelmarin hampir 200 anggota kumpulan yang menggelarkan diri mereka Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan mengadakan tunjuk perasaan di Kota Darul Naim, Kota Baru memprotes tindakan Nik Aziz yang mendoakan kecelakaan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno kerana keengganan kerajaan persekutuan membayar royalti.
Protes itu yang juga bertujuan mendesak Nik Aziz meletakkan jawatan adalah inisiatif NGO tersebut.
Sejak sebulan lalu Nik Aziz diserang dengan isu pelantikan menantunya Abdul Ariffahmi Abdul Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan tajaan kepada Menteri Besar Kelantan itu untuk menunaikan haji tahun ini.
Ketika ditanya mengenai tanggapan ramai bahawa Nik Aziz kini keseorangan dalam menghadapi siri itu dan wujudnya elemen memboikot kepimpinan beliau, Zaki menafikan persekitaran sedemikian.
"Tidak betul, Tok Guru tidak keseorangan dalam isu-isu yang ditimbulkan ini. Setiap keputusan yang diambil adalah keputusan kolektif.
"Cuma Tok Guru yang memberikan kenyataan-kenyataan media (dalam isu membabitkan kerajaan negeri) dan dalam isu pertikaian royalti petroleum, Datuk Husam Musa berada di depan dengan memberikan kenyataan, sebab ia melibatkan isu teknikal dan beliau selaku Exco yang berkaitan kewangan," kata lagi.
"Disebabkan formula ini kita dapat bertahan di Kelantan selama 19 tahun… setiap pemimpin tidak membuat kenyataan masing-masing, tapi keputusan dibuat secara bersama… kita ada Dewan Harian di mana semua orang memberikan pandangan dan keputusan dibuat bersama," katanya.
Kelmarin Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan Datuk Mohamad Daud Iraqi mengeluarkan kenyataan yang dilihat sebagai langkah mahu menyatakan sokongan padu kepada Nik Aziz untuk terus menerajui kerajaan negeri dan mempertahankan tuntutan royalti minyak lima peratus daripada kerajaan pusat.
Mohamad berkata Dewan Ulama berpendirian untuk terus menyokong beliau mengekalkan kepimpinan dalam kerajaan dan parti.
“Buat masa ini Nik Aziz dilihat masih mampu untuk meneruskan pentadbiranya.
“Ketokohan dan budaya pemerintahannya seperti yang ditunjukkan beliau masih menjadi contoh yang terbaik dan tetap disegani kawan dan lawan,” katanya.
“Ketokohan dan budaya pemerintahannya seperti yang ditunjukkan beliau masih menjadi contoh yang terbaik dan tetap disegani kawan dan lawan,” katanya.
No comments:
Post a Comment